Saturday, January 1, 2011

Kepimpinan Ulama'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Sudah lama saya terfikir untuk mencoretkan sesuatu tentang kepimpinan ulama'. kita sebagai 'insan biasa' yang kurang ilmu ini, sangat2 memerlukan ulama' sebagai pembimbing dan pemimpin menuju ke jalan yang diredhai Allah SWT. apatah lagi dalam soal pentadbiran.tentunya kepimpinan ulama' adalah terbaik dlm meneraju pentadbiran disemua peringkat.

sabda Nabi SAW:
"ulama' pewaris nabi-nabi" (HR Tirmizi)

"kelebihan orang 'alim ke atas 'abid seperti kelebihan bulan purnama di atas bintang2" (HR Tirmizi)

dalam zaman yang serba moden ini, tidak dapat dinafikan, keberadaan ulama' mula dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat.ramai yang lebih menyanjung golongan profesional berbanding ulama'.mereka tidak meyedari betapa pentingnya golongan ulama'.saya tidak menafikan keperluan masyarakat kita sekarang yang memerlukan kepada profesional yang ulama' dan ulama' yang profesional.yang penting, fikrah Islam yang jelas perlulah disebarkan kepada masyarakat agar dapat memahami Islam secara syumul dengan kefahaman yang betul.

justeru, ambillah peluang berada di bumi anbiya' ini untuk mendekati golongan2 yang mendalami secara khusus pengajian dalam bidang agama,yang tsiqah ilmu dan akhlaknya,yang ikhlas,dan mementingkan urusan akhirat berbanding dunianya .kerena meraka inilah menjadi harapan yang besar untuk agama,bangsa dan negara untuk memandu ummah ke jalan yang lurus, dan diredhai Allah SWT.

dibawah ini, saya copy paste kan artikel dari laman web ILMAM tentang kepentingan kepimpinan ulama' unt bacaan semua. smoga bermanfaat..wallahu'alam.
-----------------------------------------------------
Ulama' Mengikut Perspektif Islam

Takrif ulama' dari sudut bahasa Arab ialah bermaksud orang yang mengetahui sesuatu. Ianya berasal daripada kalimah aliim dan ulama’ adalah perkataan jama’ (gandaan yang menunjukkan bilangan banyak) kepada aliim . Manakala dari sudut syarak, pelbagai takrifan telah diberikan antaranya ialah :

1. Takrif Syeikh Abul Aziz Badri dimana beliau berkata : “Ulama’ adalah sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. Ulama’ tidak takut kepada pemerintah yang zalim dan pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT”.

2. Imam Al-Hassan Al-Basri berkata : “Ulama’ ialah orang yang takut kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatNya”

3. Imam Malik berkata : “Ulama’ bukanlah seorang yang banyak menghafaz riwayat hadis bahkan mempunyai ilmu yang merupakan nur (cahaya) yang dinyalakan Allah di dalam hati”

4. Dr. Harun Din mengatakan bahawa ianya ialah kalimah jama’ daripada perkataan alim dengan bermaksud seseorang yang mendalami pengetahuan agama. Di dalam bahasa Arab terdapat banyak istilah lain selain istilah ulama’ yang digunakan bagi merujuk kepada bidang masing-masing sebagai contoh khabir, muhtarifun, fanniyyun yang merujuk kepada pakar selain bidang agama.

Di Dalam Al-Quran Al-Karim Allah s.w.t telah berfirman :

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Bermaksud : “Hanyasanya orang yang paling takut kepada Allah adalah ulama” (Surah Fathir, ayat 28)

Menurut al-Imam al-Syaukani dalam mentafsirkan ayat ini beliau berkata, “ Ulama adalah mereka yang takut pada Allah taala,dan mengetahui bahawa Allah taala berkuasa atas sesuatu”. Al-Imam al-Qurtubi menyebut, “Ulama adalah seorang yang takut akan kekuasaan Allah taala dan yakin bahawa Allah taala akan membalas segala maksiat yang dilakukan.

Menurut al-Syahid Syed Qutb pula : “ Ulama adalah orang yang mengetahui tentang sifat Allah taala dan kebesarannya. Sesiapa yang bertambah ilmunya maka akan bertambah takutnya kepada Allah taala”. Berdasarkan kepada tafsiran tersebut nyatalah mereka yang tidak takutkan hukum Allah s.w.t dan bersungguh-sungguh melaksakan perintah Allah bukanlah mereka yang layak digelar ulama pada hakikatnya walaupun mahir dalam persoalan halal dan haram. Oleh itu, ulama yang takut kepada Allah iailah mereka yang mengmalkan ilmunya dan menyeru manusia supaya turut sama takut dan patuh kepada perintah Allah.

SYARAT-SYARAT DAN CIRI-CIRI BERGELAR ULAMA’

Institusi ulama’ merupakan institusi yang tinggi di dalam Islam. Allah s.w.t telah berbangga dengan para ulama dan telah mengangkat darjat mereka di kedudukan yang tinggi sebagaimana firman Allah :

يرفع الله الذين آمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات

Bermaksud: “ Allah s.w.t mengangkat darjat orang yang beriman dan mereka yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat”. (Surah Mujadalah, ayat 11)

Oleh yang demikian itu, ulama perlulah memiliki cirri-ciri dan syarat yang ketat sesuai dengan kedudukan mereka di dalam Islam. Syarat-syarat seorang ulama ialah :

1. Memiliki disiplin ilmu Islam yang menyeluruh. Syarat ini penting untuk membezakan mereka yang hanya memiliki pengetahuan agama dan mereka yang betul-betul menguasainya supaya dapat diletakkan seseorang itu di kedudukannya.. Antara ilmu-ilmu yang perlu dikuasai ialah :

a. Bahasa Arab dan cabang-cabangnya seperti Nahu, Saraf.
b. Al-Quran dan Ulum al-Quran
c. Ilmu Feqah Islam dan Usul Feqah
d. Ilmu Hadis dan Ulum al-Hadis
e. Ilmu Mantiq
f. Ilmu Tarikh al-Islami dan Sirah Nabawiyah
g. Ilmu Aqidah Islamiyah (Ahlussunnah Wal Jamaah)
h. Ilmu Tasawwuf dan akhlak.
i. Usul dakwah

Ulama yang dimaksudkan juga adalah mereka yang menguasai ilmu agama dengan cara mempelajarinya dengan para ulama secara berdepan atau musyafahah , di dalam segenap lapisan ilmu islam sama ada ilmu yang berkaitan usul ataupun furuk. Bukan hanya sekadar membacanya dengan tanpa berguru. Ini adalah bagi memastikan ianya diambil daripada acuan yang sebenar bukan dengan hawa nafsu dan salah faham. Bagi zaman sekarang, memadai untuk ulama untuk memiliki pengkhususan dalam salah satu bidang yang disebut atau lebih disamping menjadikan selainnya sebagai thaqofah yang turut dipelajari.

2. Mempunyai pengetahuan umum dan pelbagai mengenai Islam dan isu sekitarnya. Antara perkara-perkara yang perlu dihadam dengan baik ialah :

a. Buku-buku karangan ulama harakah al-Islamiyah seperti al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Fathi Yakan, al-Syeikh Said Hawwa dan lain-lain.

b. Feqah Haraki seperti Feqah Waqi’,Feqah Muwazanah, Feqah Awlawiyyat, Feqah Taghyir.

c. Selok belok serangan pemikiran moden seperti Freemason, Kristianisasi, ajaran anti hadis dan lain-lain

d. Politik dan perundangan negara serta hal ehwal politik semasa.

Demikian juga ulama perlu memiliki ciri-ciri dan keperibadian yang unggul sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam sesuai dengan kedudukan ulama’ sebagai pewaris Nabi Muhammad s.a.w. Antara sifat yang perlu dimiliki ialah :

1. Cinta kepada Allah s.w.t
2. Cinta dan benci kepada makhluk hanya kerana Allah.
3. Berjiwa pendidik (murabbi)
4. Mendapat tarbiyah yang baik.
5. Sanggup dipimpin dan memimpin.
6. Berjiwa pejuang dan sanggup berjihad dengan segala apa yang dimiliki.
7. Berjiwa besar dan tidak takut dikritik oleh manusia.
8. Bijak berhadapan dengan situasi semasa.
9. Hidup dalam masyarakat (mua’yasyah al-mujtama’)

HUKUM ULAMA’ MENJADI PEMIMPIN DAN DALIL-DALILNYA

Setelah melihat kepada takrif, ciri-ciri serta sejarah seperti yang tercatat sebelum ini dapatlah ditegaskan secara umumnya bahawa ulama wajib memimpin. Oleh kerana sesebuah gerakan Islam ingin membawa Islam itu sendiri maka golongan yang paling berkemampuan untuk menerangkan kebaikan Islam kepada masyarakat secara terperinci dan keburukan sistem selain Islam adalah para ulama.

Terdapat dalil yang cukup banyak membicarakan berkenaan perkara ini. Bagi yang memahaminya dengan baik tentu akan mencukupi baginya walaupun satu dalil sahaja. Namun seseorang yang ingin mengingkarinya, maka jika kita datangkan dengan seribu satu dalil sekalipun mereka tetap akan mengingkari akan perkara ini.

Jika kita memerhatikan dengan teliti di dalam al-Quran dan al-Sunnah maka kita akan mendapati bahawa para ulama sebenarnya adalah merupakan mereka yang paling layak untuk memegang tampuk kepimpinan khususnya dalam gerakan Islam yang ingin melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Kita akan membincangkan secara ringkas apakah dalil yang menunjukkan bahawa perlu para ulama memimpin. Antara dalil-dalil yang menunjukkan perkara ini:

1.PARA NABI MERUPAKAN PARA PEMIMPIN UMAT

Jika kita mengatakan bahawa para nabi adalah pemimpin umat manusia kepada kebenaran. Maka kita juga sepatutnya mengatakan bahawa para ulama juga mengambil tugas para nabi terdahulu. Ini kerana para ulama adalah pewaris para nabi.

Allah s.w.t memilih hambaNya yang bertaqwa bagi melaksanakan tugasan dakwah dan bagi memimpin umat manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud: "dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

Perkara pertama yang disebutkan oleh Allah s.w.t apabila Nabi Adam alaihi a.s diangkat menjadi Khalifah Allah bukanlah kekuasaan dan kekuatan. Namun perkara pertama yang diajarkan kepada Nabi Allah Adam alaihi a.s ialah ilmu. Ini seperti firman Allah taala di dalam surah al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud: "dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar".

Ini menjadi dalil bahawa ilmu adalah perkara pokok yang utama untuk di dahulukan bilamana memegang sesuatu kepimpinan dalam apa jua bentuk.

Allah taala juga menyebutkan kepada Nabi Allah Daud a.s di dalam surah al-Shaad ayat 26 yang bermaksud: "Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia Dengan (Hukum syariat) Yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana Yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang Yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab Yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa para Nabi hakikatnya diutuskan untuk menjalankan Syariat Allah di muka bumi ini. Maka para ulama adalah penerus kepada perjuangan para Nabi terdahulu. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :

إنما العلماء ورثة الأنبياء

Maksudnya : “ Sesungguhnya Para ulama itu adalah merupakan pewaris para Nabi”

Al-Allamah al-Syeikh Ali Surur al-Zankaluni rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Dakwah wa al-Du’ah dengan mengatakan bahawa di antara perkara yang menjadi kekeliruan dan kekacauan di dalam pemikiran masyarakat adalah bilamana seseorang memisahkan politik daripada agama. Malah lebih teruk dengan mengatakan bahawa agama suku dan politik suku. Di antara sebab mengapa umat Islam sekarang jauh ketinggalan di belakang adalah kerana terdapatnya golongan sebegini.

Al-Allamah al-Syeikh Abu Hassan Ali al-Hasani al-Nadwi rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Maza Khasirul al-A’lam Binhithot al-Muslimin (kenapakah ruginya ala mini dengan mundurnya umat Islam) dengan mengatakan bahawa jihad tetap akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Pada zaman dahulu jihad dilaksanakan dengan menggunakan mata pedang. Namun pada masa sekarang, jihad adalah dengan menggunakan pemikiran. Maka sepatutnya bagi umat Islam untuk memerangi fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam dengan bentuk jihad yang ada pada masa kini.

Persoalannya siapakah yang akan menerangkan tentang kesalah fahaman di dalam pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam ini jika bukan ulama yang turun padang memberikan penjelasan??

Memberikan penjelasan berkenaan bahaya ajaran selain Islam adalah wajib. Maka ini secara langsung menjadikan keterlibatan di dalam perjuangan Islam juga akan menjadi wajib dengan sebab kedua-duanya punya kesinambungan yang jitu. Para ulama Usul Fiqh menyebutkan :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya : “Sesuatu yang wajib itu tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu yang lain maka perkara yang digunakan untuk menyempurnakannya juga menjadi wajib.”

SYUBHAT

Terdapat sebahagian orang mengatakan bahawa jika kita mengatakan bahawa ulama perlu untuk memimpin maka ini akan menjadikan Negara tersebut dipimpin oleh orang-orang yang digelar “ Rijal al-Din” atau di dalam bahasa kita disebutkan orang-orang agama. Negara seperti ini samalah seperti bentuk pemerintahan yang dijalankan oleh oleh golongan Kristian bagi menggerakkan sistem Gereja di barat satu ketika dahulu.

JAWAPANBold
Al-Allamah Dr Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Din Wa al-Siasah pada mukasurat 162 mengatakan bahawa jika seseorang itu menyamakan di antara sistem yang Islam bawa seperti sistem yang dibawa oleh golongan paderi maka ini jelas amat bertentangan dengan kebenaran malah jauh daripada hakikat sebenar.

Golongan Kristian membahagikan agama dan pemerintahan kepada dua bahagian. Malah menyerahkan pemerintahan kepada manusia lain untuk melakukan sewenang-wenangnya manakala institusi agama diserahkan kepada pihak paderi bagi menguruskannya.Gambaran sebegini langsung tidak wujud di dalam Islam.

Al-Allamah Muhammad al-Ghazali rahimahullah juga memberikan komentar yang sangat baik di dalam menjawab permasalahan ini dengan mengatakan bahawa : Istilah Rijal al-Din sebenarnya satu perkara yang tidak tepat untuk digunakan di dalam Islam. Ini kerana umat Islam hakikatnya seluruh jiwa raga mereka adalah rijal kepada agama mereka tanpa ada pengecualian.

2.TUJUAN ILMU ADALAH UNTUK MEMBERIKAN PERINGATAN DAN PENGAJARAN

Firman Allah taala di dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud: "dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang Yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Setiap zaman punya cara untuk memberikan peringatan kepada umat masing-masing. Di antara cara untuk memberikan peringatan kepada umat pada zaman sekarang adalah dengan memegang tampuk kepimpinan di dalam masyarakat khususnya dalam bentuk jemaah Islam. Maka ini memberi makna, para ulama perlu untuk meletakkan diri mereka sebagai pemimpin umat bagi merealisasikan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Seseorang yang bijak berinteraksi dengan zaman akan memandang bahawa pada zaman sekarang, jika ulama tidak memegang tampuk kepimpinan maka ahli-ahli jemaah secara khususnya dan masyarakat secara umumnya akan berada dalam kejahilan dan jauh hanyut lebih-lebih lagi jika mereka dipimpin oleh orang-orang yang tidak mengatahui soal hukum-hukum Islam.

SYUBHAT

Ada sebahagian orang mengatakan bahawa para ulama tidak perlu untuk memimpin . Ini kerana jika melihat kepada zaman dahulu, para ulama cuma menjadi penasihat kepada para khalifah dan sultan (ahlul halli wal ‘aqd) maka tidak perlu untuk para ulama bergiat cergas menjadi pemimpin.

JAWAPAN

Jawapan bagi orang yang mengatakan sedemikian ialah inilah peri pentingnya seseorang itu bermuamalat dengan zaman dan isu semasa yang berlaku di sekeliling.

Jika seseorang itu membandingkan penglibatan dan gerak kerja ulama dahulu dengan sekarang maka sebenarnya ianya merupakan satu perbandingan yang tidak tepat. Ini kerana , para ulama dahulu mereka memberi nasihat kepada orang yang memahami akan kedudukan sebenar ulama tersebut. Berbeza dengan zaman sekarang yang mana jika ulama hanya melaksanakan sedemikian maka masyarakat akan tetap meletakkan ulama di tempat yang bawah dan seolah-olah kalam dan nasihat mereka hanya boleh dipakai di tempat-tempat tertentu seperti masjid dan lain-lain tempat bukannya sebagai penggubal dasar kepada parti atau negara.

Maka keadaan seperti ini akan menjadikan kita seperti agama Kristian yang membezakan antara agama dan pemerintahan. Ini jelas amat bertentangan dengan prinsip Islam yang sebenar.

3.ULAMA MENGETAHUI TENTANG HAK ALLAH TAALA

Di antara dalil mengapa para ulama perlu melibatkan diri di dalam kepimpinan pada zaman sekarang adalah kerana para ulama lebih memahami dan mengetahui tentang bagaimana hak Allah akan tertunai di muka bumi Allah taala ini. Di antara peranan ulama juga adalah untuk meninggikan kalimah Allah taala di muka bumi ini.

Firman Allah taala di dalam surah Ali Imran ayat 18 yang bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini menjadi dalil yang jelas bahawa para ulama adalah di antara golongan yang diberikan oleh Allah taala kemampuan untuk memahami dan memberi faham kepada masyarakat tentang peri penting mengembalikan hak pemerintahan mengikut hukum Allah taala.

4. SEJARAH MEMBUKTIKAN BAHAWA ULAMA MAMPU MEMIMPIN

Antara dalil yang menyokong untuk kita meletakkan para ulama sebagai pemimpin adalah berdasarkan sejarah penglibatan ulama di dalam bidang kepimpinan sejak zaman dahulu lagi sehingga sekarang. Para ulama sudah lama berkecimpung di dalam bidang kepimpinan dan perjuangan agama Allah taala ini. Namun ramai yang terlepas pandang dan tetap menggunakan hujah bahawa ulama tidak boleh menjadi pemimpin, cukup dengan hanya menjadi penasihat.

Di antara ulama yang menjadi pemimpin ialah :

ZAMAN SAHABAT

1. Saidina Abu Bakr al-Siddiq radhiyallahu anhu
2. Saidina Umar bin al-Khattab radhiyallahu anhu
3. Saidina Uthman bin Affan radhiyallahu anhu
4. Saidina Ali bin Abi Talib radhiyallahu anhu
5. Saidina Saad bin Abi Waqqas radhiyallahu anhu
6. Saidina Muadz bin Jabal radhiyallahu anhu
7. Saidina Abu Hurairah radhiyallahu anhu
8. Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan radhiyallahu anhu dan banyak lagi para sahabat yang tidak mampu untuk kita sebutkan di sini kerana terlalu ramai di antara mereka yang terlibat di dalam kepimpinan Islam.

ZAMAN TABI’EN DAN SELEPASNYA

1. Saidina Umar bin Abdul Aziz rahimahullah
2. Saidina Harun al-Rasyid rahimahullah
3. Saidina Nuruddin al-Zinki rahimahullah
4. Saidina Salahuddin al-Ayyubi rahimahullah
5. Saidina Sultan Abdul Hamid , Sultan terakhir Khilafah Uthmaniyah
6. Saidina Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Kerajaan Islam Melaka.
7. Saidina al-Imam Mutawalli Sya’rawi rahimahullah

ULAMA YANG MEMIMPIN GERAKAN ISLAM SEDUNIA

1. Imam Hassan al-Banna dan para Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang lain.
2. Abul ‘Aala Al-Maududi di India.
3. Syeikh Abdul Qader al-Jazair di Algeria
4. Syeikh Umar Mukhtar di Libya
5. Syeikh Ahmad al-Mahdi di Sudan
6. Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan.

Ini adalah sebahagian kecil yang dapat untuk kita sebutkan disini. Hakikatnya masih terdapat ramai para ulama yang menjadi pemimpin masyarakat. Samaada dengan menjadi Khalifah, Sultan, Menteri , Mufti , Qadhi dan lain-lain jawatan penting.

Para ulama memegang tampuk kepimpinan bukanlah untuk merebut kuasa dan gilakan kuasa tetapi mereka memegangnya hanya kerana amanah yang dirasakan sangat penting untuk dijaga oleh seseorang yang mampu.

Hakikatnya golongan ulama telah dipuji oleh Allah taala di dalam kalamNya yang Maha Qadim ayat 28 surah Faathir yang bermaksud: "dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Semoga dengan catatan ini kita dapat memahami mengapa ulama wajib memimpin sesebuah gerakan Islam ataupun negara itu sendiri seumpama Malaysia dan diharapkan segala keraguan berkaitan dengannya terungkai. Apa yang baik itu daripada Allah dan yang buruk daripada kesilapan kami sebagai makhluk yang hina. Wallahu A’alam.


No comments: