Tuesday, December 4, 2007

Khusyukkah solat kita??

Bab1:Kesan solat yang khusyuk

IMAM AL-GHAZALI menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya dikira sia-sia .
Ini kerana tujuan solat ialah untuk mengingati Allah dan mencegah manusia daripada perbuatan keji dan mungkar.

Orang yang lalai di dalam solatnya bermakna orang itu tidak akan merasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dan setiap kalimah diucapkan di dalam solatnya.

Mengamati bacaan dalam solat dengan khusyuk yang mengandungi pelbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Allah S.W.T dapat menghakis sikap buruk yang ada pada diri manusia.

Contohnya apabila membaca ayat keempat dan kelima surah al-Fatihah yang bermaksud:
“Allah yang memiliki hari Akhirat”
Maka tergambar segala kekalutan, kesibukan dan huru-hara manusia serta bersesak-sesak di padang Mahsyar,ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah di sisi Allah SWT.
“Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon,”
Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah SWT,bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau lain-lain dan tiada keinginan untuk melakukan perbuatan keji.

o Orang yang lalai di dalam solat tidak mendapat pahala sebaliknya Allah menjanjikan balasan api neraka sebagaimana dalam firman Allah SWT:
“Maka celakalah bagi orang-orang solat,(iaitu) orang-orang yang lalai daripada menyempurnakan solatnya.”
(Surah al-Ma’un,ayat 4-5)


o Solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak
mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT.

· Menurut IMAM AL-GHAZALI bahawa solat ialah munajat (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap tuhannya.Oleh itu, solat itu pastinya dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawadhuk.

· Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur kerana orang yang mengigau itu bertutur di luar kesedaran walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar.
· Apabila hati lalai, ia akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Allah SWT.


Bab2:Hadir hati adalah roh solat

· Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih awal di akhirat kelak oleh Allah SWT berbanding amalan lain.

· Menurut pendapat Imam al-Ghazali;
Tidak syak lagi bahawa seseorang itu berzikir atau membaca dalam solat ialah untuk memuji Tuhan dan yang menjadi matlamat tidak lain ialah Allah SWT.

· Oleh itu solat akan menjadi sia-sia sekiranya tidak disertai dengan hati yang sentiasa ingat akan Allah,kerana hati adalah wasilah atau perantaraan dengan Allah SWT.

· Hati diciptakan oleh Allah SWT untuk mengenal dan melihat Allah SWT, namun tidak mungkin hati dapat syuhud (bersaksi)kepada Allah SWT dalam keadaan manusia itu lalai.

· Hati yang lapang dalam ertikata dada yang dipenuhi dengan iman, sabar, taqwa, dan berani adalah perlu untuk menghadapi sebarang rintangan dalam melaksanakan tugas dakwah.

· Dakwah tidak akan terlaksana jika dengan hati yang lalai, kerana ucapan dari hati yang lalai itu walau sehebat mana sekalipun tidak akan ada kesannya kerana sesuatu yang ditujukan ke dalam hati mestilah melalui hati yang tenang dan mutma’innah.

· Hadir hati di dalam solat itu adalah nyawa kepada solat tersebut.

· Lalai itu adalah lawan bagi solat, kerana lalai itu bercanggah dengan tujuan solat sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku.Dan
dirikanlah solat untuk mengingati-Ku (Allah).”
(Surah Thaahaa ayat 14)

· Kesimpulannya ,hati yang sentiasa ingat dan mengikuti segala perbuatan dalam solat adalah menjadi nyawa kepada solat tersebut.Apabila hati lalai maka solat hanya tinggal rangka saja,sedangkan roh sudah melayang.

Bab3:Hayati makna ayat bagi mencapai khusyuk

· Segala makna atau pengertian dalam persoalan ‘hadir hati’ iaitu sebagai nyawa kepada solat diringkaskan kepada enam perkara.

1. Hudhur al-qalb’(hadir hati) iaitu berusaha membuang segala sesuatu yang tidak ada kena-mengena dengan solat, dan juga membuang segala perkara yang tidak ada hubungan dengan Allah.

2. At-tafahhum bererti melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat itu sama ada perbuatan dan juga segala yang diucapkan.Hati orang yang mengerjakan solat itu dapat mengikuti maksud kalimah yang diucapkan.

3. At-ta’dzim iaitu merasai keagungan Allah SWT.Apabila seseorang itu memulakan solat dengan menyebut Allahu Akbar, mereka akan merasa dirinya terlalu kerdil didepan Allah SWT dan ingatannya terhadap Allah terlalu agung.

4. Al-haibah iaitu bukan sahaja merasa kebesaran ilahi tetapi juga merasa gerun terhadap keagungan Allah SWT.

5. Ar-rajaa’ iaitu sentiasa menaruh harapan besar, mudah-mudahan segala ibadah solat yang dilakukan mendapat ganjaran pahala dari-Nya.

6. Al-hayaa’iaitu merasa malu terhadap Allah SWT di atas segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadahnya, sekadar mana yang terdaya dilakukan namun dipersembahkan juga ibadah tersebut kepada Allah SWT.

No comments: