Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Alhamdulillah,syukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya kita masih lagi diberi kesempatan berada dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.Bulan yang mana Al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia.Semoga kita semua terus diberi kekuatan, taufiq dan hidayah dariNya untuk sentiasa istqamah dalam beramal dan semoga amalan yang kita lakukan disepanjang bulan yang mulia ini mendapat ganjaran dan diterima di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Bulan Ramadhan ialah bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)”.. (Al-Baqarah : 185)
Bulan Ramadhan sangat sinonim dengan bulan diturunkan Al-Quran.Ramai di antara kita yang berlumba-lumba untuk mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan yang mulia ini.Namun begitu, berapa ramaikah di antara kita yang mengambil manfaat daripada setiap ayat Al-Quran yang dibaca?
Firman Allah SWT:
“Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan(Al-Quran) untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?” (Surah Al-Qamar:22)
“ Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?”(Surah Muhammad : 24)
Al-Quran juga digelar sebagai Al-Furqan, Az-Zikr, Al-Kitab yang merupakan petunjuk, pemberi peringatan kepada pembacanya, pembawa berita gembira buat orang-orang yang beriman,berita sengsara bagi orang-orang yang ingkar, mengkhabarkan tentang perkara-perkara ghaib, cerita para nabi sebelum Baginda Rasulullah SAW,membezakan antara yang hak dan batil, sumber utama rujukan dalam mengeluarkan hukum-hakam dan sebagainya.Justeru, Al-Quran yang merupakan Kalam Allah SWT, wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW perlulah kita hadam sebaiknya agar dapat memberi manfaat kepada hidup kita di dunia dan di akhirat.Al-Quran yang dibaca tanpa memahami maksud dan tafsirannya serupalah sepertimana kita membaca peta tetapi tidak memahami isi kandungan peta tersebut.Lantas, jalan manakah yang perlu ditempuhi?Malanglah apabila peta sudah ada di tangan, tetapi kita tetap dalam kesesatan kerana keengganan untuk mempelajari dan memahami peta tersebut.
Bagaimanakah sikap para sahabat ketika mendengar Al-Quran dibacakan?Ketika penurunan Al-Quran di zaman Rasulullah SAW, para sahabat baginda ada yang terus menghafaz ayat-ayat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, ada pula yang mencatatkannya dilembaran-lembaran pelepah tamar, kulit kayu, kulit binatang, dan sebagainya. Pada zaman tersebut juga, apabila Al-Quran dibacakan kepada para sahabat, mereka akan terus menghafaz dan mengamalkan setiap ayat yang diturunkan kepada mereka.Mereka sangat menitikberatkan untuk mengamalkan Kalamullah hatta tidak akan menghafaz ayat yang berikutnya, selagi mana belum mengamalkan ayat yang dihafaz sebelum itu.Begitulah hebatnya iman para sahabat Nabi SAW.Mereka dengar, dan mereka taat.Lantaran itu,lahirlah generasi-generasi Al-Quran yang unggul.Hidup mereka lahir daripada acuan Al-Quran,serta mendapat tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah SAW.Justeru, tidak mustahillah Rasulullah SAW menyifatkan bahawa zaman sahabat merupakan sebaik-baik kurun.
Di dalam sebuah buku karangan Dr Safwat M. Halilovic berjudul “Hifz: Memorization of the Quran” menceritakan bahawa,sesiapa yang mempelajari perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW akan mendapati bahawa kehidupan baginda penuh dengan hubungan yang rapat dengan Al-Quran.Baginda sentiasa bersama dengan Al-Quran di dalam semua keadaan.Baginda akan membaca Al-Quran siang dan malam,ketika di rumah, mahupun diperjalanan.Tambahan lagi, kehidupan Baginda menggambarkan seorang model Al-Quran yang praktikal dari segala aspek kehidupan.Hal ini seperti mana yang telah dikhabarkan oleh Saidatina ‘Aisyah RA yang mengatakan bahawa akhlaq Rasulullah SAW adalah Al-Quran.
Oleh itu para sahabat sekalian,bersempena dengan bulan yang padanya Al-Quran diturunkan, marilah kita bersama-sama membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian kita.Dampingilah Al-Quran, kerana dialah penawar dan pengubat segala duka dan keresahan, menjadi penghubung kepada hamba dengan Tuhan.Jiwailah Al-Quran, jadikanlah Al-Quran sebagai teman setia,kerana Al-Quran adalah sebaik-baik kalam, menjadi pengubat dan penawar penyakit yang berada di dalam jiwa.Bacalah Al-Quran dengan hati yang khusyuk, menangis mengharapkan keredhaan Tuhan.
“Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. (Surah Al-Isra’ :82)
Ya Allah,kurniakanlah kami kekuatan, taufiq dan hidayah agar sentiasa istiqamah untuk membaca,memahami, mentadabbur,menghayati,menghafaz, dan mengamalkan Al-Quran hingga ke akhir hayat.Ameen.
Wallahu’alam